was successfully added to your cart.

Category

MGR

ANTARA TEGURAN WARDINA DAN “TINDAKBALAS DUA DATO”

By | MGR, Umum | No Comments
Wa Allah a’lam tulisan ini hanya sekadar cetusaan dari MGR untuk menilai dan sekadar memberikan buah pandangan untuk kita sebagai umat Islam memposisikan diri diantara kehendak al-Quran dan Sunnah terhadap sesuatu isu. Ini hanyalah tulisan santai untuk kita sama-sama merehatkan minda. Maaf sekiranya tidak ilmiah.

MGR selalu menjadikan “satu soalan keramat”  yang akan berlegar di benak sanubari apabila ada satu isu yang berlegar ditengah-tengah masyarakat. Sama ada ia bersifat politik, agama, sosial, hiburan dan sebagainya.

Persoalan itu adalah : “JIKA RASULULLAH ADA DISANA APAKAH REAKSI BAGINDA???

Allah.. MGR amat berharap agar para pembaca yang budiman jugak akan bertanya soalan yang sama. Coretan ringkas ini bukanlah untuk menilai apa yang ada didalam hati yang menegur atau yang ditegur. Tetapi ia adalah sekadar untuk kita sama-sama menjadikan isu ini sebagai sesuatu yang boleh dipelajari dan meningkatkan rasa tanggungjawap kepada Agama. Kita mahu  menjadi umat Nabi s.a.w yang melakukan sesuatu bukan kerana ada “udang disebalik mee” atau ada kepentingan peribadi tetapi lebih kepada “ta’awanu ala al-Birri”(bertolong bantu dalam mempromosikan kebaikan).

JAWAPAN…

 “JIKA RASULULLAH ADA DISANA APAKAH REAKSI BAGINDA??? Jawapan-jawapan untuk setiap isu itu kadangkala tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah tanggapan atau pasti. Setiap jawapan tersebut perlu diperhalusi dan diteliti sebaik mungkin berteraskan “Iqamatul Hujjah” (berpijak diatas dalil). Jika ada nasnya maka legalah rasa hati, jika tiada, maka lidah dan jari perlu berhati-hati.

Firman Allah:

“Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya” – (Isra’:36)

GANGSTER DAN FILEM.



                                                                       kredit foto

Kebanjiran filem baik dari Barat mahupun Timur yang memiliki rentak gaya penceritaan diatas nama “Aksi” dengan menampilkan aksi gangster adalah amat mencemaskan. Sekalipun babak-babak tersebut telah melepasi saringan penapisan Filem. Apakah tidak cemas ini kerana setiap kali babak-babak gangster itu ditonton, pasti sahaja anak kecil berusia empat tahun akan meniru aksi tersebut!!! Pasti saja adik dan abang akan bergusti diatas katil sebelum tidur!!!. Untuk menafikan ia tiada kesan dan tanpa kajian mungkin boleh dipertikaikan. Tetapi sekadar menamakan beberapa ulasan yang dapat ditemui dialam siber secara mudah terdapat beberapa tulisan yang menarik untuk kita renungkan yang ditulis oleh mereka yang prihatin.


Diataranya web Cigku Azleeen.com, menyatakan:

Anyway, melalui pencarian saya di internet saya mendapati bahawa American Academy Of Pediatrics (Pediatriks ini adalah pakar kanak-kanak, rasanyalah..) menyarankan bahawa bayi dan kanak-kanak berusia 0 hingga 2 tahun tidak harus menonton TV sama sekali. Dan mereka yang berusia lebih dari 2 tahun hanya menonton antara 1 -2 jam sahaja rancangan TV yang berkualiti. 2 tahun pertama kehidupan kita ini adalah tempoh kritikal bagi perkembangan otak @ minda. Oleh itu, TV mahupun gajet-gajet elektronik lainnya boleh mengganggu proses eksplorasi, bermain dan berinteraksi dengan ibu bapa serta objek-objek lain yang meransang pembelajaran dan perkembangan fizikal dan sosial secara sihat.Apabila kanak-kanak semakin berusia (dewasa), masa menonton tv yang terlalu banyak akan menghalang mereka dari aktif secara fizikal (asyik duduk depan TV jer kan), membaca, buat kerja rumah, bermain dengan rakan sebaya dan juga meluangkan masa dengan keluarga.Secara purata, remaja Amerika telah menonton sekurang-kurangnya 200,000 babak ganas dan kejam melalui TV apabila mereka berumur 18 tahun. Bayangkan banyak mana tuh?Nah, jangan cakap itu di Amerika, kita di Malaysia ni lain. Jangan harap. Filem-filem dan drama Melayu sekrang ni pun banyak menayangkan aksi-aksi seram ganas dan kejam, sehingga naik mual saya nak tengok.Kekejaman dalam TV seringkali menuntut penonton untuk meniru aksinya. Walaupun kadang-kadang ada yang kata “Jangan tiru aksi ini di rumah”.. Hehehe.. Sudah resam manusia semakin dikata jangan, itulah yang hendak dilakukan.Kebanyakan aksi ganas dan kejam dalam TV ini pula dilakukan oleh hero-hero rancangan tersebut. Nah, bagaimanalah kanak-kanak tak terikut-ikut?Walaupun sebagai ibu bapa kita memberitahu anak-anak bahawa tidak baik untuk memukul orang lain, TV kata ianya OK untuk pukul, gigit, tendang jika kita adalah “geng baik”. Keadaan ini menimbulkan kekeliruan pada kanak-kanak.Dan lebih lebih lagi, dalam kebanyakan rancangan TV jarang ditunjukkan bahawa geng jahat ini menerima hukuman atau balasan atas kejahatan mereka.Bersikap kejam hanyalah satu dari kesan psikologi menonton TV terhadap kanak-kanak. Ada banyak lagi kesan lain yang akan saya bincangkan di lain hari…”

Ini hanya satu blog dan banyak lagi blog-blog lain yang menulis dengan nada risau berkenaan cerita “gangster”. Bahkan, Profesor Dr Hussain Habil Mohamad Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyatakan  “Pengamatan mendapati pengaruh filem atau drama ganas dipaparkan di televisyen turut menyumbang berlaku kes jenayah. Kesannya, “eksperimen dijalankan adalah dengan membalas terhadap rakan sekelas,”. Jelas filem-filem tersebut memberi faedah mungkin sekadar menghibur para penonton dewasa tetapi ia menjahanamkan penonton muda!!!



TEGURAN PRIHATIN VS TEGURAN BERKEPENTINGAN

MGR melihat teguran Puan Wardiana Safiyyah itu asasnya adalah kerisauan seorang ibu terhadap masa depan anak-anaknya. Pada hemat MGR kerisauan ini perlu ada pada ibu-ibu yang sayangkan iman dan akhlak pewaris zuriat masing-masing. Kita mungkin boleh berkata: kawallah anak semasa menonton TV!!! Ya mudah berkata tetapi berdasarkan pengalaman MGR dan teman-teman yang lain ia amat SUKAR…ye AMAT SUKAR…hanya pada Allah sahaja kita memohon agar kesukaran ini dipermudahkan. Perhatikan Hadis ini:

Dari Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” – Sahih Bukhari 6018

PARA PEMBIKIN FILEM TAKUTLAH KEPADA ALLAH…

Sesiapa sahaja yang membuat pelaburan pasti mahukan keuntungan. Begitu jugalah para pembikin filem. MGR tidak menafikan fitrah mahukan untung, untung dan terus untung. Para pembikin filem barat tidak memiliki iman, tetapi kita memiliki Agama. Mana mungkin kita beragama melakukan dan berfikir seperti mereka yang tidak beragama???  Sesuatu yang perlu diingat apalah nilainya kita untung mungkin sejuta dua tetapi kita menyumbang sesuatu yang menjahanamkan anak-anak kecil yang mudah menyerap apa sahaja. Bahkan ia akan menjadi saham akhirat kita. Ada benarnya teori Albert Bandura (1925-?) (kadang-kadang kita lebih percaya teori Barat melebih Al-Quran dan Sunnah) dalam Modelling Theory: The Basis of Observational Learning “BoBo Doll Studies”.. kata Bandura “ Virtually every phenomenon that occurs by direct experience can occur vicariously as well – by observing other people and the consequences for them”. Ringkasnya teori ini telah memberi kesimpulan bahawa kanak-kanak akan terkesan dengan apa yang mereka lihat terutamanya Televisyen!!!. 

FILEM GANGSTER UNTUK PENGAJARAN?

                                                                 kredit foto


Meletakkan dan memperjuangkan filem ganster sebagai salah satu cara Dakwah adalah sama sekali tidak menepati kehendak al-Quran Dan Sunnah. Alasan filem tersebut untuk memberi tahu masyarakat jangan tiru, jangan buat, dan seribu jangan lagi adalah amat tersasar. Bahkan dihujung filem disertakan Dalil, Nas dan peringatan untuk para penonton supaya JANGAN TIRU AKSI INI DIRUMAH adalah tagline yang diimport dari barat!!! Ia adalah Talbis Iblis (Tipu Daya Iblis). Rasulullah di zaman Baginda membenteras segala keburukan yang bersifat awam. Dimana segala maksiat dikhalayak perlu dinyahkan. Ini kerana kesemua itu seumpama sekolah tidak rasmi dan wabak yang amat merbahaya kepada masyarakat. Daripada kita tidak tahu menjadi tahu. Oh macam ni caranya nak buli…? Ya inilah kesan langsung dari filem-filem gangster dan seumpamanya. Kesan dan iktibar ada tetapi mudarat dan keburukan jauh lebih dahsyat!!!

Logiknya kenapa amalan-amalan baik tidak di promosikan dan dijadikan teras untuk membuat filem? Filem-filem bergenre “ustaz” “alim” “agama” tidak salah. Tetapi olahan dan kebijaksanaan pengarah filem amat perlu untuk dilihat menarik dan berimpak. Bahkan penerbit filem akan mendapat dua keuntungan iaitu keuntungan Dunia berbentuk material dan keuntungan bekal akhirat yang abadi. Inilah yang Allah dan Rasul ajarkan. Segala perkara baik perlu dizahirkan contohnya solat berjamaah di masjid, melakukan kebaikan-kebaikan yang sifatnya berjamaah perlu dizahirkan bahkan disyiarkan. Bila amal-amal baik tersebar dikhalayak umum. InsyaAllah masyarakat tanpa mengira usia akan merasa malu untuk melakukan keburukan. Rasionalnya, bila filem dilancarkan dan dipertontonkan adalah baik maka khalayak pasti menerima impak kebaikannya. Alasan saya tidak ke masjid, tidak buat baik depan khalayak, kerana takut riak adalah amat tidak boleh diterima. Bahkan menyalahi ruh syarak.

Perhatikan hadis ini.

Daripada dari Abu Hurairah RA katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain). Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan diwaktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah telah menutupinya”, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku telah melakukan begini dan begini”. Orang itu semalam-malaman telah ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.” Riwayat: Bukhari dan Muslim

Para pembikin filem pasti mengeluh, “habis tu, semua tak boleh, so nak buat filem apa?” Allah Akbar…banyak lagi filem yang baik telah menang pelbagai anugerah hebat. Lihat saja filem Children of Haven dan lain-lain. Ingatlah menghasilkan idea kreatif untuk menghasilkan sesuatu filem yang baik adalah dari Allah yang Maha Bijaksana. Fikirkan.. 
KEMBALI KEPADA ALLAH DAN RASUL.

Pada hemat MGR teguran Pn.Wardina itu perlu disambut dengan penuh rasa hormat dan syukur oleh masyarakat Mukmin dan termasuk para penerbit filem yang takutkan Allah. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sebaiknya atas teguran tersebut. Bila beliau diangkat sebagai ikon salah sebuah syarikat susu dengan harapan pengaruhnya itu dapat membuatkan para pembeli tertambat. Maka kerisauan dan komen beliau tentang budaya samseng dikalangan pelajar-pelajar sekolah dan kaitannya dengan filem juga perlu kita fikirkan.  Bahkan ramai ibu bapa yang memiliki idea yang sama tetapi mereka bukan ikon, maka suara mereka sekadar meniti dibibir orang biasa yang tiada impaknya. MGR ingin mengajak para penerbit filem tanpa mengira apa jua status mereka untuk kembali kepada Allah dan Rasul.

Mulalah bertindak dan gunakanlah hasil rezeki filem anda sebelum ini untuk kebaikan umat. Kerana setiap sen dan keringat yang kita laburkan selama ini tidak menjadi beban kita diakhirat kelak. Segala usaha bukan pada jalan Allah dan Rasul pasti akan mengundang kekesalan pada hari yang tiada peluang untuk kembali bertaubat. Ingat berhijrahlah sepenuhnya bukan separu-separuh. Yakinlah segala amal buat kita diatas muka bumi Allah ini adalah pelaburan kita di negeri yang abadi. InsyaAllah apa yang kita harapkan adalah pelaburan PAHALA FREE dari Allah… Satu filem yang baik menepati kehendak Allah dan Rasul ditonton oleh ribuan manusia, bayangkan, berapa banyak pahala yang para pembikin Filem dapat di alam yang kekal abadi..
Salam Hormat

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR. 1436H  

SEMINAR REMAJA MUSLIM USIM 2014

By | MGR, Umum | No Comments
Syabas dah tahniah kepada Para Pelajar Tahun 4 Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM diatas penganjuran “Seminar Remaja Muslim” sempena Konvensyen Keusahawanan Islam “ICEPS 10”. Syabas dan setinggi penghargaan patut diberikan kepada para peserta yang hadir. Kalian adalah terbaik!!!


KEHEBATAN BAGINDA NABI S.A.W

Kupasan berkenaan kehebatan Baginda Nabi s.a.w memang tiada noktahnya. Setiap kali MGR mengendalikan program atau bengkel pasti ada sahaja inspirasi dan maklumat-maklumat baru yang terbit dari benak pemikiran. Pakej Modul dan aktiviti yang dijalankan sepanjang hampir 2 jam memberikan ruang dan peluang untuk MGR berkongsi denyut nadi untuk membuatkan para peserta dapat merasakan keperluan mereka kepada Rasul s.a.w.  

Menjanakan maklumat-maklumat yang digarap dari pelbagai sumber bacaan ditambah  dengan pengalaman mengendalikan seminar dan bengkel adalah sesuatu yang sukar. Ini kerana “audience” yang pada mulanya dikatakan akan hadir menarik diri saat akhir. Maka “audience” yang ada perlu disantuni dengan sebaik mungkin. Ini kerana semua yang terlibat dari mula sehingga akhir telah mengifakkan masa yang amat berharga untuk tujuan mendapat input-input segar yang mampu di hadam dan dicernakan dalam hidup.

GOLONGAN SASAR “AD-HOC”

Membina  pakej bermodul untuk golongan sasar “ad-hoc” amat memeritkan. Ini kerana minda perlu dikerah memikirkan input dan aktiviti dalam masa yang amat singkat. Hanya cetusan idea dari Allah s.w.t yang Maha Bijaksana yang mampu memberi kekuatan. Alhamdulillah modul dan aktiviti dapat di sempurnakan sebaik mungkin. Alhamdulillah kelihatan para peserta hampir 99.9% memberikan respon yang amat mengujakan. Sampai bertemu lagi dan selamat beramal dan Selamat berusaha mencintai Rasul sepenuh hati.
   

Diantara Gambar-gambar sekitar Seminar yang dianjurkan:


Salam Hormat dari Motivasi Gaya Rasulullah (MGR)

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri.


Remaja atau Masjid Hijrahlah…1436

By | MGR | 3 Comments


Remaja atau  Masjid Hijrahlah…1436 
 

Kredit Untuk Foto

 Remaja dan masjid adalah satu topik yang sangat menarik untuk dipublisitikan. Ini kerana gabungan dua perkataan “Remaja” dan “Masjid”dirasakan agak janggal dan mungkin juga dapat dikatakan seakan-akan tidak mempunyai titik pertemuan. MGR merasakan remaja dan masjid seakan-akan tidak mempunyai kaitan bahkan agak tidak keterlaluan jika saya katakan masjid yang ada pada hari ini  tidak mempunyai peranan didalam pembangunan remaja masa kini. 
 Kredit Untuk Foto
Hal ini dapat kita perhatikan dari watak-watak remaja yang ada di dalam tv, di institusi pengajian tinggi, sekolah dan mungkin didalam rumah kita. Peranan media massa, pengaruh sekitar dan budaya asing lebih berpengaruh didalam membangunkan serta melahirkan identiti remaja-remaja hari ini. Masjid hanya dilihat menjadi tempat untuk orang-orang yang telah bersara dan berumur menghabiskan masa dan sisa-sisa hidup. 

 Kredit Untuk Foto
Bahkan jika ada golongan muda yang melazimkan diri kemasjid dianggap sebagi sesuatu yang janggal. Seakan-akan masjid bukanlah tempat yang sesuai bagi golongan ini. Tempat yang paling sesuai untuk golongan remaja dibangunkan ialah diatas-atas motosikal, di konsert-konsert, pesta-pesta nyayian, kelab-kelab malam, pesta-pesta sukan dan pusat-pusat membeli belah. Ini kerana kelihatan masjid diprogramkan hanya untuk memenuhi kehendak golongan berusia dan gagal memenuhi kehendak golongan muda yang mahukan program yang lebih segar dan mampu memenuhi jiwa mereka. Persoalannya adakah program-program masjid hanya tertumpu kepada golongan dewasa dan berusia sahaja? Adakah masjid yang ada pada hari ini tidak mempunyai “aura tarikan” sebagaimana aura panggung wayang, aura stadium dan seribu satu tempat yang sering menjadi tempat golongan remaja berkumpul?   Membahaskan topik remaja dan masjid perlu lebih agresif dan kritis.  Perbincangan melibatkan remaja dan masjid perlu diwacanakan kerana manusia diperingkat remaja adalah tersangat penting kerana manusia diperingkat ini berada di ambang alam dewasa dan menghadapi banyak cabaran dari segi fizikal, emosi, mental dan sosial yang sangat kritikal. Persoalan  yang melibatkan aspek fizikal masjid seperti bentuk, saiz, warna dan sebagainya tidak menjadi topik yang perlu diangkat tetapi  manusia remaja yang mengimarahakan masjid amat perlu diangkat dan di wacanakan. Ini kerana manusialah yang akan membentuk suasana masjid yang akan membuatkan remaja jatuh hati dan terikat dengannya.

Bagaimanakah Rasul s.a.w menjadikan Masjid sebagai institusi yang membangunkan potensi remaja? 
Dizaman Rasul s.a.w golongan remaja tidak hanya dilibatkan dengan aktiviti-aktiviti ritual sahaja. Tetapi Rasul s.a.w menjana potensi mereka dengan menggunakan masjid untuk mereka mengembangkan bakat dan bersaing untuk sama menyumbang demi kebaikan umat. Ini dapat dilihat dimana Nabi membenarkan golongan remaja dan belia untuk menggunakan masjid untuk mendalami ilmu mempertahankan diri atau boleh kita fahami sebagai aktiviti berbentuk fizikal didalam masjid.

                                                                      Kredit Untuk Foto


 Disamping itu juga mereka juga dibenarkan oleh rasul untuk mempersembahkan acara berbentuk kesenian didalam masjid. Dimana Rasul s.a.w memberikan sokongannya dengan menghadirkan diri untuk menyaksikan bahkan Baginda Nabi s.a.w membawa isterinya A’isyah. Begitu juga Rasul s.a.w melibatkan golongan muda untuk turut serta didalam majlis-majlis yang bersifat formal bahkan Rasul meminta mereka untuk turut sama memberikan idea dan pandangan. Disamping itu juga Rasul yang sifatnya sebagai utusan Allah turut menjanjikan bagi golongan ini balasan ynag hebat iaitu dipayungi pada hari mahsyar. Iaitu pemuda yang hatinya tergantung dan terikat pada masjid. Cuba kita bayangkan bagaimanakah para remaja akan sentiasa terikat pada masjid sebagaimana mereka terikat pada padang bola sepak, pusat permainan video,dan sebagainya jika sekirannya institusi masjid hanya menyediakan produk-produk bagi golongan dewasa dan tua?

                                                                      
                                                               Kredit Untuk Foto

 Promosi besar-besaran tidak akan membuatkan pengguna tertarik jika sekiranya produk yang dihasilkan hanya sampai pada target yang tertentu sahaja. Ini kerana Rasul membuka ruang seluas-luasnya untuk remaja menggunakan masjid untuk mengembangkan bakat mereka disamping produknya sesuai dengan sifat remaja yang aktif dan sentiasa mengiginkan perkara-perkara baru. Bersambung…

Salam Hormat

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR 1436

 




Hijrah dan Motivasi Gaya Rasulullah

By | Hadis dan Psikologi, MGR, SUNNAH, Umum | 3 Comments
Jemputan.

Menerima jemputan untuk mengisi ruang yang diberikan oleh ahli jawatankuasa masjid atau surau untuk mengisi slot ceramah Maal Hijrah bukanlah satu impian. Apatah lagi untuk mengambil ruang dan peluang bagi mendapatkan sumber pendapatan “extra”. Mohon Allah bantu.


Namun, Satu perkara yang sering berlegar dikepala apabila dijemput memberikan pengisian adalah, “sejauh manakah setiap butir perkataan yang keluar dari mulut dapat memberikan sentuhan impak” yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendengar atau jamaah kariah yang telah memberikan masa dan umur mereka untuk mendengar “bebelan si ustaz” saban tahun dengan isu dan topik yang berulang-ulang.

Bahkan kadang-kadang jika tidak teliti, mungkin sahaja kisah-kisah atau maklumat yang tidak pasti riwayatnya menjadi maklumat yang keluar dari mulut si penceramah jemputan.


Hijrah dan Motivasi Gaya Rasulullah

Hijrah Rasulullah adalah sesuatu yang telah berlaku dan ianya tersimpan untuk dibaca dan dijadikan sebagai inspirasi untuk memotivasikan umat Islam. Hijrah adalah sesuatu yang amat hebat. Ia tidak sama sekali diajar dalam ajaran agama selain Islam. Umat Islam yang memahami falsafah dan hikmah disebalik Hijrah al-Rasul pasti menjadi insan yang amat produktif, inovatif, sensitif kepada persekitaran bahkan senantiasa berada di hadapan memimpin insan lain kearah kebaikan yang di ajar oleh baginda Nabi s.a.w.

Maha suci Allah yang merancang perjalanan hidup insan teragung iaitu Muhammad Rasulullah. Segala episod kehidupan Baginda adalah amat besar dan bernilai bagi mereka yang beriman untuk dijadikan pedoman. Amat rugilah mereka yang menjauhkan diri dari Baginda Nabi s.a.w.


Masjid, Surau VS Hijrah?

Pengisian seperti forum atau ceramah dengan membariskan agamawan selebriti menjadi trend utama bagi masjid atau surau yang “mampu”. Manakan tidak mereka akan menarik hampir 100% penduduk kariah!!!

Manakala agamawan yang tidak popular dijadikan “backup” jika agamawan selebriti menarik diri disaat-saat akhir. Kelihatan perkara ini tidak menunjukkan sebarang “penghijrahan” yang berlaku. 

Meraikan Maal Hijrah bukanlah sekadar meramaikan ahli kariah untuk menjadi lebih dekat kepada agamawan selebriti atau menikmati jamuan luar dari kebiasaan dihujung program. Tetapi sebaliknya, hijrah adalah ajaran agama yang memiliki impak!!!

Falsafah paling mudah adalah hijrah mengajar kita untuk membawa fizikal kita kearah perkara yang lebih baik.  Di dalam sunnah Baginda Nabi s.a.w kita dibenarkan untuk berpindah tempat duduk pada hari Jumaat apabila diri diselubungi rasa mengantuk dan tidak dapat fokus pada khutbah. Sabda Baginda s.a.w

إذا نعس أحدُكم فى المسجدِ يومَ الجمعةِ فليتحولْ من مَجْلِسِه ذلك

Apabila salah seorang dari kamu mengantuk di masjid, baiklah dia berpindah dari tempatnya ke tempat lain. (Tirmidhi, No.hadith : 526: Hasan Sahih)

(gambar hiasan)

Secara mudahnya berpindah-pindah itu adalah satu juzuk dari kefahaman hijrah. Memanglah berpindah tempat apabila rasa mengantuk ketika mendengar khutbah tidak dikira sebagai hijrah. Tetapi ia boleh di jadikan sebagai sesuatu yang dapat kita lakukan dalam memahami maksud hijrah secara mudah. Persoalannya, berapa ramaikah umat Islam yang telah termotivasi untuk berpindah tempat duduk ketika mengantuk mendengar khutbah, forum, kuliah dan majlis ilmu?

Masjid, Surau VS Aktiviti Hijrah Berimpak?

 Forum, ceramah, pertandingan azan adalah diantara pengisian biasa masjid dan surau masyarakat Melayu Nusantara. Bahkan masjid dan surau berlumba-lumba mendapatkan agamawan selebriti, takut terlepas dan dikatakan gagal dalam mentadbir. Ini semua adalah ketakutan yang tidak munasabah.

Masjid atau surau seharusnya berfikir dan berlumba-lumba untuk memberi pendekatan baharu dalam menjayakan sambutan Maal Hijrah. Forum berimpak perlu difikirkan, ceramah berimpak perlu difikirkan dan pengisian berimpak amat perlu dilaksanakan. Antaranya adalah memberikan anugerah-anugerah terpilih kepada ahli kariah. Seperti kanak-kanak istiqamah solat subuh dimasjid, remaja istiqamah menghadiri kuliah, pemuda terbaik saf hadapan dan sebagainya.

Gunakanlah duit yang disedekahkan oleh orang ramai untuk tujuan ini. Ini bagi memberikan saingan kepada anugerah-anugerah “mungkar” yang diberikan kepada pelaku-pelaku maksiat dikaca televisyen dan sebagainya. Mereka mendapat pelbagai anugerah diatas kemungkaran yang mereka lakukan! Tetapi para pelaku kebaikan di masjid atau surau hanya menunggu anugerah selepas kematian mereka?.

 “Alah ustaz.. janji Allah kan pasti…tunggulah anugerah di akhirat..”, ulas seorang jemaah masjid.

Motivasi Gaya Rasulullah amat tertarik dengan apa yang dilakukan oleh ahli kariah Surau As Salam Kota Damansara. Mereka telah memberikan anugerah kepada kanak-kanak yang istiqamah hadir berjemaah di surau! MasyaAllah.. Ini sesuatu yang amat menarik untuk dipromosikan dan dijadikan agenda Hijrah umat Islam. Bukankan hikmah Umar al-Khattab dalam memilih tarikh Hijrah sebagai kalendar rasmi umat Islam adalah untuk kita sentiasa menjadi muslim yang sentiasa menghayati falsafah Hijrah??? Fikir-fikirkan…


Kenangan bersama AJK Surau As-Salam Kota Damansara yang kreatif 🙂



Salam Hormat

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR 1436H 

By | MGR | No Comments
Motivasi Ramadan…Oh Hidayah Jangan Pergi…

Benar hidayah adalah milik mutlak Allah s.w.t. tiada siapa pun diatas dunia ini yang boleh memiliki hidayah sebagaimana manusia boleh memiliki harta, takhta dan wanita. Benarlah Firman Allah:


“Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah)”
(al-Lail 12).

Hidayah boleh bersama kita dan boleh pergi bila-bila masa. Yang amat menghairankan adalah hidayah ini adalah sesuatu yang benar-benar mutlak sumbernya dari Allah yang maha Pencipta.


                                                                     Kredit Untuk Foto

Benarlah Firman Allah:

Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Ibrahim:4)
Dialah Allah s.w.t yang menciptakan hidayah yang amat berharga dan Dialah Allah s.w.t yang merentap keluar hidayah dari hati-hati manusia. Benar firman Allah :
Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.(Syuraa:52)

Tiada siapa yang tahu bagaimanakah sifat dan zat hidayah. Tetapi kesan hidayah dapat dilihat jelas pada diri seseorang. Lebih ganjil lagi hidayah itu satu perkara yang boleh bertambah dan berkurang sebagaimana Firman Allah:

Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.(Muhammad:17)
 Kredit Untuk Foto
Apakah hidayah yang saya maksudkan? Hidayah pada kita yang telah muslim adalah keupayaan untuk mempertahankan hidayah tersebut dan istiqamah diatas syariat. Manakala hidayah bagi yang bukan muslim adalah apabila Allah s.w.t memasukkan kedalam hati mereka iman dan petunjuk. Pentingnya hidayah ini membuatkan seseorang penerimanya itu akan mampu bertahan diatas apa jua cubaan dan rintangan yang hadir yang mungkin boleh mencabut hidayah itu keluar.


                                                                     Kredit Untuk Foto

Tangan saya digerakkan kali ini sekadar ingin berkongsi satu kisah benar yang diceritakan kepada saya setelah selesai kuliah subuh di salah sebuah Masjid di Ampang Kuala Lumpur. Setelah selesai berkuliah dan menyantuni setiap jamaah yang bertemu dan mengajukan pelbagai soalan kepada saya. Allah telah mentakdirkan saya dipertemukan dengan salah seorang jamaah “revert” yang telah sudi berkongsi cerita kepada saya pada pagi itu. Setelah memperkenalkan dirinya banyak kisah yang dikongsikan kepada saya.

       Kredit Untuk Foto


Air matanya mula berderai keluar apabila perbicaraan kami mula membicarakan tentang keluarga. Perkataan pertama yang keluar dari mulut sahabat ini adalah “saya mendapat hidayah ini dengan meninggalkan kesemua yang saya miliki sejak berpuluh tahun yang lalu…tapi saya tidak akan berpatah balik dalam mempertahankan hidayah ini…”saya membiarkan dia terus bercerita; ustaz saya masuk Islam ketika berusia 48 tahun. Saya ada isteri, 3 orang anak dan pekerjaan sebagai seorang peguam. Pendeknya saya telah miliki kesedapan hidup. Apa lagi yang manusia perlukan jika semua itu telah dipenuhi. Kini saya tidak miliki semua itu. Tetapi saya memiliki sesuatu yang lebih beharga dari semua itu…iaitu Allah…dan hidayah. Allah Akbar…!!! Hati kecil saya tersentak dengan begitu kuat…ia bagaikan pukulan maut kepada benak sanubari saya yang paling dalam. Saya tiada respond melainkan memuji Allah azza wa jalla..lantas membiarkan sahabat tadi terus bercerita.

                                                                         Kredit Untuk Foto

Ustaz, saya menyembunyikan keislaman saya selama dua tahun dari keluarga saya. Sepanjang tempoh itu Isteri saya seakan merasakan perubahan pada diri saya. Tetapi sangkaannya lebih kepada negatif iaitu mungkin saya memiliki teman wanita diluar pengetahuannya. Apakan tidak kelibat saya yang keluar awal pagi balik lewat malam  telah mengundang seribu prasangka terhadap saya. Tapi ustaz sebenarnya keluar saya diawal pagi adalah untuk hadir solat subuh di Masjid dan lewat malam untuk solat Isyak di Masjid…Allah hati saya disentap sekali lagi…beliau menyambung lagi. 


                                                                       Kredit Untuk Foto


Ustaz apabila saya memberitahu tentang keislaman saya maka ia bagaikan gegak gempita yang berlaku didalam keluarga saya. Isteri saya menuntut kesemua haknya dan menghalau saya keluar dari rumah. Saya dengan lapang dada memberikan haknya dan anak-anak dan keluar dari rumah tanpa memiliki apa-apa kecuali Allah. Tapi kini hidup saya jauh lebih bahagia tanpa semua itu. Kebahagian yang manusia rasakan diatas semua perkara yang bersifat dunia tiadalah nilai jika mahu dibandingkan dengan hidayah yang telah saya kecapi, rasai dan nikmati. Ustaz doakan saya terus dapat nikmati nikmat hidayah ini sampai bertemu kekasih saya iaitu Allah azza wa jalla..bersambung…


                                                                        Kredit Untuk Foto


Ramadan Kareem dan Selamat Bermotivasi sepanjang Ramadan

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR

Hebat dan “fantastik”nya Ramadhan!!!

By | Hadis dan Psikologi, MGR, SUNNAH, Umum | One Comment
                                                                    Kredit Foto

Hebat dan “fantastik”nya Ramadhan!!!

Ramadhan tidak pernah mengecewakan insan-insan yang yakin adanya hari pembalasan. Ramadhan senantiasa menyediakan jalan bahkan lebuhraya bagi insan-insan yang beriman landasan yang luas untuk menuju redha Allah s.w.t. Ramadhan pasti tidak berkunjung dengan seribu satu hadiah dan ganjaran lumayan tanpa dihadirkan insan ulung iaitu Baginda Rasul s.a.w. Pastinya ramadhan dan pengisiannya adalah datang dari petunjuk Baginda s.a.w.

                                                                   Kredit Foto
Motivasi

Motivasi untuk mengisi dan melipat gandakan amal soleh atau ibadat bukanlah datang dari semangat berkobar-kobar tanpa pedoman,  angan-angan atau  rasa-rasa sesuka hati dan apa sahaja yang tiada asas. Jelasnya segala susunan apa yang perlu dan tidak perlu telah pun ditunjukkan oleh Baginda Rasul s.a.w selengkapnya. Motivasi meningkatkan ketaatan mesti hadir dari keiklasan untuk beribadah hanya kepada Allah s.wt dan mengikut petunjuk Rasul s.a.w.

Manusia dan Jenisnya.

Seribu jenis manusia maka tentulah ada seribu jenis cara fikir dan tindak tanduk. Maka tindak tanduk agama juga tidak terlepas dari seribu macam kefahaman dan gaya ibadah. Dalam aktiviti harian atau muamalah tidaklah menjadi satu kesalahan jika kita bertindak mengikut keperluan yang dirasakan perlu. Ini kerana dalam banyak aspek keperluan harian agama membimbing kita secara umum. Ramadhan memperlihatkan manusia yang menyambut bulan yang mulia tersebut dalam pelbagai jenis dan kategori. Diantaranya ialah:

1.       Menyambut ramadhan atas faktor adat dan tradisi. Prinsip manusia muslim sebegini akan menyambut Ramadhan berdasarkan apa yang diwarisi dari generasi nenek moyang berdasarkan keturunan. Maka apa sahaja tindak tanduk mereka dalam mengisi ramadhan adalah bersandarkan apa yang pernah mereka lihat, amal, dan warisan turun temurun. Islam tidak pernah menyalahkan adat mahupun tradisi, tetapi yang menjadi isu ialah apabila adat dan tradisi tersebut diutamakan lebih dari nas agama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan ia menjadi lebih tidak sesuai sehingga perbuatan Nabi s.a.w yang sepatutnya didahulukan dikesampingkan kerana kedegilan ataupun kejahilan. Contoh mudah ketika berbuka puasa. Baginda Nabi s.a.w telah memberikan contoh makanan yang sepatutnya didahulukan iaitu rutab, tamar dan air maka mungkin disebabkan keturunan dan kejahilan, kita mendahulukan makanan-makanan tradisi keluarga dan sebagainya. Akhirnya luput dari kita satu sunnah yang amat beharga. Maka bagi sesiapa yang tidak mempunyai motivasi sebegini penulis mencadangkan agar kita selalu berdoa kepada Allah s.w.t untuk diberikan petunjuk dan kekuatan untuk mencontohi Rasul s.a.w.

2.       Menyambut ramadhan atas faktor ingin “berdiet”. Tidak kurang juga ada terdapat manusia yang menanti secara bersungguh-sungguh untuk mendisiplinkan diri dalam menikmati makanan. Maka ia menjadikan ramadhan sebagai platform perjuangan dan jihad terbaik untuk mencapai keinginan “berdiet”. Tidak menjadi kesalahan dalam agama untuk memastikan diri sentiasa dalam keadaan terbaik dengan mengawal pemakanan. Tetapi isunya ialah menjadikan ramadhan platform untuk berdiet bukanlah matlmat pensyariatan puasa. Alangkah ruginya jika seseorang itu menyibukkan diri mengatur menu kesihatan harian iaitu jadual “diet” harian tetapi dia terlupa mengatur menu ibadah berdasarkan petunjuk Rasul s.a.w. Alangkah baiknya jika menu diet yang diusahakan itu berteraskan sunnah dan diatas kekuatan menjaga diet tersebut membuatkan dirinya menjadi bertambah kuat untuk berada diatas taat dan keimanan. Pastinya insan yang mencontohi sunnah akan mendapat kedua-duanya sekali.

3.       Menyambut ramadhan atas faktor ekonomi. Tidak dinafikan telah banyak testimoni para usahawan yang memberitahu bahawa perniagaan pada bulan ramadhan boleh memberikan pulangan berlipat kali ganda. Islam tidak memerintahkan kita meninggalkan pencarian rezeki pada bulan ramadhan. Tetapi kelihatan berapa ramai yang dapat memberi focus untuk memiliki keuntungan perniagaan dan keuntungan spiritual. Wahai para peniaga dan ahli perniagaan jadikan motivasi perniagaan yang anda usahakan sepanjang ramadhan seiring dengan motivasinya untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan Rasul. Pasti anda akan merasai keberkatannya.

4.       Menyambut ramadahan atas faktor “pesta ibadah. Ramadhan memiliki satu “tagline” yang popular iaitu “bulan berpesta ibadah”. Ya benar ramadhan adalah ibu kepada umat Islam untuk berpesta dengan banyaknya ibadah. Namun begitu Islam tidak membebaskan kita menentukan jenis ibadah yang seharusnya kita pestakan. Nabi s.a.w telah menunjukkan kepada kita bagaimanakah untuk mengisi pesta Ibadah tersebut. Berpada dan rasa cukuplah dengan apa yang dicontohkan oleh Baginda s.a.w. Jadilah kita orang yang tunduk kepada sunnah bukan kepada kehendak berpesta ibadah dalam kejahilan dan melanggar sunnah.

5.       Menyambut ramadhan atas faktor  kejahilan. Berapa ramai manusia yang melakukan pengisian ramadhan dalam keadaan jahil. Kejahilan ini telah memerangkap dirinya, sehingga ia merasakan kebebasan untuk melakukan segala jenis sangkaan ibadah yang tiada dalil atau datang dari dalil yang lemah. Penentu kepada ibadah yang diterima Allah bukanlah atas faktor “seniority” atau sudah banyak kali melakukannya. Penerimaan Allah kepada sesuatu ibadah bersandar kepada dua sebab iaitu ikhlas dan tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi s.a.w.


                                                                      Kredit Foto
Salam Ramadhan 2014 untuk semua. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Doa kita semoga Allah mengampunkan kesemua kesalahan Ramadhan yang lepas diatas kekurangan ilmu. Semoga Allah s.w.t membantu kita untuk taat kepadaNya dalam kerangka petunjuk Rasul.s.a.w.
Salam Hormat.

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR

Sunnah jelah…

By | Hadis dan Psikologi, MGR, SUNNAH, Umum | No Comments
”…Berpada-padalah dengan Sunnah Nabi s.a.w…”

Assalamualaikum…”…Berpada-padalah dengan Sunnah Nabi s.a.w…”itulah bunyinya ungkapan saya dalam satu siri kuliah di sebuah masjid. Kelihatan ada jamaah yang kelihatan mengangguk-aggukkan kepala dan ada pula yang seakan-akan buat-buat faham dan buat muka “confius”…Beginilah tuan-tuan dan puan-puan, Baginda Nabi s.a.w diutuskan sebagai Rahmat keseluruh alam. Ramai para ustaz dan ustazah yang menghuraikan:
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين

Surah al-Anbiya’ [21]: 107).  (Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam).”

Tetapi tuan-tuan Nampak tak yang Nabi ni Rahmat??? Ujar saya lagi. Kelihatan ada jamaah yang pejamkan mata seakan-akan nak bayangkan rahmatnya Baginda Nabi s.a.w. Sesuatu yang amat pasti adalah Baginda Nabi s.a.w adalah rahmat. Rahmatnya Baginda Nabi s.a.w tidak akan dapat kita rasai sehinggalah kita yakin dan percaya apa yang dibawa oleh Baginda s.a.w adalah sesuatu yang amat ajaib dan terbaik. Saya mengasak lagi jamaah dengan soalan. Tuan-tuan pernah tak rasa yang sunnah Nabi ni ajaib??? Kelihatan ada jamaah yang wajahnya bertambah “confius”. Pada hemat saya mereka “confius” kerana ada pelbagai sebab diantaranya:

1.      Maklumat berkenaan sunnah yang dimiliki mungkin terlalu sedikit.

2.      Jumlah majlis membaca dan menghuraikan Hadis yang merujuk kepada kutub sittah dan seumpanya tidak begitu meriah jika dibandingkan dengan majlis-majlis ilmu yang lain. Contoh: kelihatan ada tempat yang mempunyai majlis ilmu tajwid khusus lebih dari sekali dalam seminggu dan akhirnya ajk masjid terlupa ruang untuk majlis memahami hadis sahih dan sunnah Baginda s.a.w.  

3.      Sunnah yang mereka fahami mungkin adalah “sunnat” Contoh: “Oh ni tak perlu nak buat sungguh-sungguh kan sunat je”.

4.       Para asatizah yang hadir ke Masjid mungkin tidak mempromosikan sunnah secara tepat, terperinci dan bersungguh-sungguh. Mungkin ada yang mempromosikan “barang sunnah” untuk tujuan Bisnes.

5.      Tiada usaha bersungguh-sungguh yang dibuat untuk mempromosikan sunnah berteraskan hadis yang sahih jika dibandingkan dengan kesungguhan mempromosikan majlis menyayikan “lagu-lagu” memuji Nabi s.a.w.
6.       Para ustaz “promoter” sunnah sering di pandang sinis dan mengelirukan. Bahkan mungkin dilabel pelbagai gelar yang “negatif”.

Ini mungkin sebahagian dari sebab-sebab yang membuatkan para jamaah masjid, surau dan seumpamanya kelihatan tiada jawapan apabila soalan sebegini ditanya berkali-kali:  “ tuan-tuan Nampak tak yang Nabi ni Rahmat???”, “Tuan-tuan pernah tak rasa yang sunnah Nabi ni ajaib???”, “tuan-tuan tau tak yang Ramai non-Muslim masuk Islam kerana melihat kehebatan amalan Rasulullah???”, “tuan-tuan rasa tak yang sunnah Nabi ni memberi banyak manfaat pada kehidupan manusia???.




Rahmatnya Baginda s.a.w.

Rahmat ini secara kefahamannya dapat diteliti sebagaimana berikut:





الرَّحْمة: الرِّقَّةُ والتَّعَطُّفُ

Rahmat ialah kelembutan yang berpadu dengan rasa iba (Lihat : Lisaanul Arab, Ibnul Mandzur). Rahmat juga boleh difahami sebagai kasih sayang. Diutuskan Nabi s.a.w adalah bentuk kasih sayang Allah kepada seluruh manusia. Ini kerana tanda kasih saying Allah adalah apa sahaja yang dipilih oleh Baginda untuk dijadikan sunnahnya terbukti memberi kebaikan yang besar kepada manusia.

Imam Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi berpandangan rahmat yang dimaksud mempunyai beberapa pengertian diantaranya:

1.Mengakhirkan adzab dari mereka.

2.Nabi s.a.w adalah rahmat, sehingga bagi mereka yang mentaati dan mengikutinya, maka mereka akan selamat di dunia dan akhirat.

3. Syafaat atau pertolongan (syafa’at ‘udzma) Baginda s.a.w untuk para pelaku dosa besar kelak di akhirat dan mungkin masih banyak pengertian yang lain. Lihat: (Takwilatu ahli al-sunnahVII/384)

Manakala Imam al-Mawardi menjelaskan bahwa rahmat tersebut berbentuk menyelamatkan mereka dari kebodohan, menunjukkan jalan untuk menjahui kesesatan, mencegah kemaksiatan dan menuntun pada ketaatan. Lihat: (Ahkam al-Sulthaniyah h. 277).

Rahmat juga dapat difahami dalam dua hal iaitu rahmat bagi agama dan dunia. Rahmat Baginda s.a.w dalam agama iaitu Baginda s.a.w diutus kepada manusia yang berada dalam kebodohan dan kesesatan, ketika itu para kafir ahli kitab dalam masa kebodohan dan kesesatan. Ini dapat dilihat dari gaya hidup seharian mereka. Sebagai contoh: Bangsa Arab tidak mengetahui apakah alat yang terbaik untuk digunakan untuk bersuci. Maka Baginda s.a.w datang memilih dan menunjukkan apakah bahan yang terbaik untuk digunakan untuk bersuci. Seperti menggunakan “siwak”, berkumur-kumur, wuduk dan sebagainya. Jelas sehingga kehari ini kesemua itu dapat memberikan kebaikan kepada manusia dan dapat dibuktikan secara sainstifik.
Motivasi mengikut Sunnah.




Pahala Besar Bagi Orang Yang Berpegang Teguh Dengan Sunnah Rasulullah sa.w. Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w  bersabda:“Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran, kesabaran di hari itu seperti menggenggam bara api, bagi yang beramal (dengan Sunnah Nabi) pada saat itu akan mendapatkan pahala lima puluh.” Ada seseorang yang bertanya: “Lima puluh dari mereka, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Pahala lima puluh dari kalian.” (Sahih, Abu Dawud dan Al- Tirmidhi, lihat: Silsilah As- Sahihah, no. 494)





Al Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata: “Dalam mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w terdapat keberkatan dalam mengikuti syari’at, meraih keredhoan Allah s.w.t, meninggikan darjat, mententeramkan hati, menenangkan badan, membuat marahnya syaitan, dan berjalan di atas jalan yang lurus.” Lihat: (Dharuratul Ihtimam, h. 43).

Semakin banyak sunnah yang kita cuba fahami dan lakukan maka semakin bertambah iman kita kepada Rasul s.a.w.

Al Qurthubi rahimahullah ketika menjelaskan ayat 103 surat Ali Imran menyatakan bahwa Allah s.w.t mewajibkan kepada kita agar berpegang teguh dengan kitab-Nya (Al Qur’an) dan sunnah nabi-Nya, serta merujuk kepada keduanya apabila terjadinya perselisihan. Allah s.w.t juga memerintahkan kepada kita agar bersatu di atas Al Qur’an dan As Sunnah dalam hal keyakinan dan amalan. Kaum muslimin perlu bersatu dan tidak tercerai-berai, sehingga akan meraih kemaslahatan dunia dan agama, serta selamat dari perselisihan. Lihat:( Tafsir Al Qurthubi, 4/105).

Motivasi gaya Rasulullah menyeru supaya motivasi umat Islam perlu dihalakan kepada memburu sunnah Nabi s.a.w. dan bukan sebaliknya. 

Penulis: Dr.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri (MGR) 

Blog Khas Motivasi Gaya Rasulullah

By | MGR, Umum | No Comments

Motivasi Gaya Rasulullah (MGR) adalah satu pendekatan untuk menggali idea, kaedah, dan cara manusia teragung iaitu Muhammad bin Abdullah dalam memotivasi manusia keseluruhannya.

Bermula dengan kelahiran Buku “Motivasi Gaya Rasulullah”

Syarikat ini didaftarkan pada 12 Jun 2012 (12.6.12) bersempena 12 Rabiul Awwal tarikh lahirnya insan paling hebat dan berpengaruh dimuka bumi ini.

Usaha kami untuk bergerak di atas trademark MGR dibawah syarikat 2M Global Training & Consultancy dengan usaha yang berterusan insyaAllah untuk membuka lembaran Motivator Agung; Muhammad bin Abdullah (SAW ) dengan nafas baharu insyaallah untuk semua lapisan masyarakat serta semua peringkat umur.