was successfully added to your cart.

Monthly Archives

October 2014

Hijrah dan Motivasi Gaya Rasulullah

By | Hadis dan Psikologi, MGR, SUNNAH, Umum | 3 Comments
Jemputan.

Menerima jemputan untuk mengisi ruang yang diberikan oleh ahli jawatankuasa masjid atau surau untuk mengisi slot ceramah Maal Hijrah bukanlah satu impian. Apatah lagi untuk mengambil ruang dan peluang bagi mendapatkan sumber pendapatan “extra”. Mohon Allah bantu.


Namun, Satu perkara yang sering berlegar dikepala apabila dijemput memberikan pengisian adalah, “sejauh manakah setiap butir perkataan yang keluar dari mulut dapat memberikan sentuhan impak” yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendengar atau jamaah kariah yang telah memberikan masa dan umur mereka untuk mendengar “bebelan si ustaz” saban tahun dengan isu dan topik yang berulang-ulang.

Bahkan kadang-kadang jika tidak teliti, mungkin sahaja kisah-kisah atau maklumat yang tidak pasti riwayatnya menjadi maklumat yang keluar dari mulut si penceramah jemputan.


Hijrah dan Motivasi Gaya Rasulullah

Hijrah Rasulullah adalah sesuatu yang telah berlaku dan ianya tersimpan untuk dibaca dan dijadikan sebagai inspirasi untuk memotivasikan umat Islam. Hijrah adalah sesuatu yang amat hebat. Ia tidak sama sekali diajar dalam ajaran agama selain Islam. Umat Islam yang memahami falsafah dan hikmah disebalik Hijrah al-Rasul pasti menjadi insan yang amat produktif, inovatif, sensitif kepada persekitaran bahkan senantiasa berada di hadapan memimpin insan lain kearah kebaikan yang di ajar oleh baginda Nabi s.a.w.

Maha suci Allah yang merancang perjalanan hidup insan teragung iaitu Muhammad Rasulullah. Segala episod kehidupan Baginda adalah amat besar dan bernilai bagi mereka yang beriman untuk dijadikan pedoman. Amat rugilah mereka yang menjauhkan diri dari Baginda Nabi s.a.w.


Masjid, Surau VS Hijrah?

Pengisian seperti forum atau ceramah dengan membariskan agamawan selebriti menjadi trend utama bagi masjid atau surau yang “mampu”. Manakan tidak mereka akan menarik hampir 100% penduduk kariah!!!

Manakala agamawan yang tidak popular dijadikan “backup” jika agamawan selebriti menarik diri disaat-saat akhir. Kelihatan perkara ini tidak menunjukkan sebarang “penghijrahan” yang berlaku. 

Meraikan Maal Hijrah bukanlah sekadar meramaikan ahli kariah untuk menjadi lebih dekat kepada agamawan selebriti atau menikmati jamuan luar dari kebiasaan dihujung program. Tetapi sebaliknya, hijrah adalah ajaran agama yang memiliki impak!!!

Falsafah paling mudah adalah hijrah mengajar kita untuk membawa fizikal kita kearah perkara yang lebih baik.  Di dalam sunnah Baginda Nabi s.a.w kita dibenarkan untuk berpindah tempat duduk pada hari Jumaat apabila diri diselubungi rasa mengantuk dan tidak dapat fokus pada khutbah. Sabda Baginda s.a.w

إذا نعس أحدُكم فى المسجدِ يومَ الجمعةِ فليتحولْ من مَجْلِسِه ذلك

Apabila salah seorang dari kamu mengantuk di masjid, baiklah dia berpindah dari tempatnya ke tempat lain. (Tirmidhi, No.hadith : 526: Hasan Sahih)

(gambar hiasan)

Secara mudahnya berpindah-pindah itu adalah satu juzuk dari kefahaman hijrah. Memanglah berpindah tempat apabila rasa mengantuk ketika mendengar khutbah tidak dikira sebagai hijrah. Tetapi ia boleh di jadikan sebagai sesuatu yang dapat kita lakukan dalam memahami maksud hijrah secara mudah. Persoalannya, berapa ramaikah umat Islam yang telah termotivasi untuk berpindah tempat duduk ketika mengantuk mendengar khutbah, forum, kuliah dan majlis ilmu?

Masjid, Surau VS Aktiviti Hijrah Berimpak?

 Forum, ceramah, pertandingan azan adalah diantara pengisian biasa masjid dan surau masyarakat Melayu Nusantara. Bahkan masjid dan surau berlumba-lumba mendapatkan agamawan selebriti, takut terlepas dan dikatakan gagal dalam mentadbir. Ini semua adalah ketakutan yang tidak munasabah.

Masjid atau surau seharusnya berfikir dan berlumba-lumba untuk memberi pendekatan baharu dalam menjayakan sambutan Maal Hijrah. Forum berimpak perlu difikirkan, ceramah berimpak perlu difikirkan dan pengisian berimpak amat perlu dilaksanakan. Antaranya adalah memberikan anugerah-anugerah terpilih kepada ahli kariah. Seperti kanak-kanak istiqamah solat subuh dimasjid, remaja istiqamah menghadiri kuliah, pemuda terbaik saf hadapan dan sebagainya.

Gunakanlah duit yang disedekahkan oleh orang ramai untuk tujuan ini. Ini bagi memberikan saingan kepada anugerah-anugerah “mungkar” yang diberikan kepada pelaku-pelaku maksiat dikaca televisyen dan sebagainya. Mereka mendapat pelbagai anugerah diatas kemungkaran yang mereka lakukan! Tetapi para pelaku kebaikan di masjid atau surau hanya menunggu anugerah selepas kematian mereka?.

 “Alah ustaz.. janji Allah kan pasti…tunggulah anugerah di akhirat..”, ulas seorang jemaah masjid.

Motivasi Gaya Rasulullah amat tertarik dengan apa yang dilakukan oleh ahli kariah Surau As Salam Kota Damansara. Mereka telah memberikan anugerah kepada kanak-kanak yang istiqamah hadir berjemaah di surau! MasyaAllah.. Ini sesuatu yang amat menarik untuk dipromosikan dan dijadikan agenda Hijrah umat Islam. Bukankan hikmah Umar al-Khattab dalam memilih tarikh Hijrah sebagai kalendar rasmi umat Islam adalah untuk kita sentiasa menjadi muslim yang sentiasa menghayati falsafah Hijrah??? Fikir-fikirkan…


Kenangan bersama AJK Surau As-Salam Kota Damansara yang kreatif 🙂



Salam Hormat

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR 1436H