was successfully added to your cart.

Hebat dan “fantastik”nya Ramadhan!!!

                                                                    Kredit Foto

Hebat dan “fantastik”nya Ramadhan!!!

Ramadhan tidak pernah mengecewakan insan-insan yang yakin adanya hari pembalasan. Ramadhan senantiasa menyediakan jalan bahkan lebuhraya bagi insan-insan yang beriman landasan yang luas untuk menuju redha Allah s.w.t. Ramadhan pasti tidak berkunjung dengan seribu satu hadiah dan ganjaran lumayan tanpa dihadirkan insan ulung iaitu Baginda Rasul s.a.w. Pastinya ramadhan dan pengisiannya adalah datang dari petunjuk Baginda s.a.w.

                                                                   Kredit Foto
Motivasi

Motivasi untuk mengisi dan melipat gandakan amal soleh atau ibadat bukanlah datang dari semangat berkobar-kobar tanpa pedoman,  angan-angan atau  rasa-rasa sesuka hati dan apa sahaja yang tiada asas. Jelasnya segala susunan apa yang perlu dan tidak perlu telah pun ditunjukkan oleh Baginda Rasul s.a.w selengkapnya. Motivasi meningkatkan ketaatan mesti hadir dari keiklasan untuk beribadah hanya kepada Allah s.wt dan mengikut petunjuk Rasul s.a.w.

Manusia dan Jenisnya.

Seribu jenis manusia maka tentulah ada seribu jenis cara fikir dan tindak tanduk. Maka tindak tanduk agama juga tidak terlepas dari seribu macam kefahaman dan gaya ibadah. Dalam aktiviti harian atau muamalah tidaklah menjadi satu kesalahan jika kita bertindak mengikut keperluan yang dirasakan perlu. Ini kerana dalam banyak aspek keperluan harian agama membimbing kita secara umum. Ramadhan memperlihatkan manusia yang menyambut bulan yang mulia tersebut dalam pelbagai jenis dan kategori. Diantaranya ialah:

1.       Menyambut ramadhan atas faktor adat dan tradisi. Prinsip manusia muslim sebegini akan menyambut Ramadhan berdasarkan apa yang diwarisi dari generasi nenek moyang berdasarkan keturunan. Maka apa sahaja tindak tanduk mereka dalam mengisi ramadhan adalah bersandarkan apa yang pernah mereka lihat, amal, dan warisan turun temurun. Islam tidak pernah menyalahkan adat mahupun tradisi, tetapi yang menjadi isu ialah apabila adat dan tradisi tersebut diutamakan lebih dari nas agama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan ia menjadi lebih tidak sesuai sehingga perbuatan Nabi s.a.w yang sepatutnya didahulukan dikesampingkan kerana kedegilan ataupun kejahilan. Contoh mudah ketika berbuka puasa. Baginda Nabi s.a.w telah memberikan contoh makanan yang sepatutnya didahulukan iaitu rutab, tamar dan air maka mungkin disebabkan keturunan dan kejahilan, kita mendahulukan makanan-makanan tradisi keluarga dan sebagainya. Akhirnya luput dari kita satu sunnah yang amat beharga. Maka bagi sesiapa yang tidak mempunyai motivasi sebegini penulis mencadangkan agar kita selalu berdoa kepada Allah s.w.t untuk diberikan petunjuk dan kekuatan untuk mencontohi Rasul s.a.w.

2.       Menyambut ramadhan atas faktor ingin “berdiet”. Tidak kurang juga ada terdapat manusia yang menanti secara bersungguh-sungguh untuk mendisiplinkan diri dalam menikmati makanan. Maka ia menjadikan ramadhan sebagai platform perjuangan dan jihad terbaik untuk mencapai keinginan “berdiet”. Tidak menjadi kesalahan dalam agama untuk memastikan diri sentiasa dalam keadaan terbaik dengan mengawal pemakanan. Tetapi isunya ialah menjadikan ramadhan platform untuk berdiet bukanlah matlmat pensyariatan puasa. Alangkah ruginya jika seseorang itu menyibukkan diri mengatur menu kesihatan harian iaitu jadual “diet” harian tetapi dia terlupa mengatur menu ibadah berdasarkan petunjuk Rasul s.a.w. Alangkah baiknya jika menu diet yang diusahakan itu berteraskan sunnah dan diatas kekuatan menjaga diet tersebut membuatkan dirinya menjadi bertambah kuat untuk berada diatas taat dan keimanan. Pastinya insan yang mencontohi sunnah akan mendapat kedua-duanya sekali.

3.       Menyambut ramadhan atas faktor ekonomi. Tidak dinafikan telah banyak testimoni para usahawan yang memberitahu bahawa perniagaan pada bulan ramadhan boleh memberikan pulangan berlipat kali ganda. Islam tidak memerintahkan kita meninggalkan pencarian rezeki pada bulan ramadhan. Tetapi kelihatan berapa ramai yang dapat memberi focus untuk memiliki keuntungan perniagaan dan keuntungan spiritual. Wahai para peniaga dan ahli perniagaan jadikan motivasi perniagaan yang anda usahakan sepanjang ramadhan seiring dengan motivasinya untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan Rasul. Pasti anda akan merasai keberkatannya.

4.       Menyambut ramadahan atas faktor “pesta ibadah. Ramadhan memiliki satu “tagline” yang popular iaitu “bulan berpesta ibadah”. Ya benar ramadhan adalah ibu kepada umat Islam untuk berpesta dengan banyaknya ibadah. Namun begitu Islam tidak membebaskan kita menentukan jenis ibadah yang seharusnya kita pestakan. Nabi s.a.w telah menunjukkan kepada kita bagaimanakah untuk mengisi pesta Ibadah tersebut. Berpada dan rasa cukuplah dengan apa yang dicontohkan oleh Baginda s.a.w. Jadilah kita orang yang tunduk kepada sunnah bukan kepada kehendak berpesta ibadah dalam kejahilan dan melanggar sunnah.

5.       Menyambut ramadhan atas faktor  kejahilan. Berapa ramai manusia yang melakukan pengisian ramadhan dalam keadaan jahil. Kejahilan ini telah memerangkap dirinya, sehingga ia merasakan kebebasan untuk melakukan segala jenis sangkaan ibadah yang tiada dalil atau datang dari dalil yang lemah. Penentu kepada ibadah yang diterima Allah bukanlah atas faktor “seniority” atau sudah banyak kali melakukannya. Penerimaan Allah kepada sesuatu ibadah bersandar kepada dua sebab iaitu ikhlas dan tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi s.a.w.


                                                                      Kredit Foto
Salam Ramadhan 2014 untuk semua. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Doa kita semoga Allah mengampunkan kesemua kesalahan Ramadhan yang lepas diatas kekurangan ilmu. Semoga Allah s.w.t membantu kita untuk taat kepadaNya dalam kerangka petunjuk Rasul.s.a.w.
Salam Hormat.

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR

Join the discussion One Comment

  • masyi mus says:

    Assalamualaikum ustaz..

    selepas saya mmbaca artikel ini, saya amat tertarik dengan konsep yang diterangkan oleh ustaz iaitu bagaimana menyambut Ramadhan mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dengan cara yang betul supaya kita tidak menyambut Ramadhan dalam keadaan “jahil” ataupun sekadar “adat dan “tradisi” sahaja. Dalam blog ustaz juga saya perasan ada beberapa ayat “teguran” yang mana boleh saya katakan secara “berhemah” dalam penulisan ustaz sebagaimana contoh “mendahulukan makanan-makanan tradisi keluarga dan sebagainya. Akhirnya luput dari kita satu sunnah yang amat beharga” yang mana kita tahu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. mendahulukan makan tamar atau rutab atau air untuk membuka puasa. Selain itu setiap penulisan ustaz,disertakan dengan contoh cara hidup Nabi Muhammad s.a.w. menyebabkan saya boleh mengetahui sunnah Nabi Muhammad s.a.w. tanpa perlu cari di website yang lain. Lagipun, sekarang ini banyak blog atau penulisan yang hanya sekadar penulisan sahaja tanpa dibawa dengan bukti dan dalil, hanya menulis mengikut pandangan masing-masing tanpa diselitkan dengan dalil yang kukuh seperti Al-Quran dan hadis.

    Tambahan pula,penulisan yang ditulis oleh ustaz sangat santai dan pendek serta padat, tidak seperti blog-blog yang lain yang panjang dan ada yang terlalu “syadid” dan ada juga yang tidak kena tajuk yang dibincangkan menyebabkan para pembaca tidak dapat input dari pembacaan blog tersebut. Melalui penulisan dalam blog atau dikenali sebagai penulisan di era teknologi dan maklumat ini (ICT), penulis dapat menyebarkan dakwah secara tidak langsung kepada masyarakat. Sebagaimana kita tahu, masyarakat sekarang ini, semakin hari semakin sibuk dengan kerjaya masing- masing menyebabkan mereka tiada masa untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di surau ataupun masjid. Dengan adanya blog dan penulisan agama ini dapat membantu masyarakat dalam menambahkan ilmu pengetahuan agama dan mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam ilmu agama dengan baik. Dengan penulisan di era teknologi dan maklumat(ICT) penulis dapat menyebarkan ilmu-ilmu agama tanpa perlu menjadi seorang guru untuk menyebarkan dakwah, ini dapat membantu ramai masyarakat kita untuk mengetahui ilmu agama dengan mendalam. Saya melihat dengan penulisan di blog atau dalam website dapat membantu masyarakat kita berubah untuk menjadi semakin baik, ini kerana ada sesetengah dari masyarakat kita rasa “malu” untuk pergi ke surau atau masjid untuk dapatkan ilmu agama, dengan adanya penulisan agama dalam blog atau dalam ICT, sedikit sebanyak membantu masyarakat kita menjadi orang baik dan berubah menjadi yang lebih baik.In sya Allah.